Soalan Sering Ditanya Tentang Selesema Burung (H5N1)
Penyakit selesema burung jenis H5N1 telah dikesan di beberapa jajahan di Kelantan. Virus H5N1 ini mula dikesan di Kg Pulau Tebu, Tunjung, Kota Bharu daripada sampel yang diambil pada 28 Februari 2017 selepas ayam kampong yang dipelihara didapati mati dengan banyak.
Sehingga 18 Mac 2017, sebanyak 28 lokasi telah disahkan positif virus H5N1 di enam (6) jajahan iaitu, Kota Bharu (14 lokasi), Pasir Mas (6), Tumpat (3),Tanah Merah (1), Bachok (1) dan Pasir Puteh (3) yang melibatkan 43 premis. Jumlah pelupusan adalah 31,353 ekor unggas dan 12,267 biji telur. Sebanyak 3,012 sampel telah di ambil dari 502 pemilik unggas sepanjang aktiviti pemantauan (survelan).
Sehingga kini, TIADA kes Avian Influenza A (H5N1) yang dikesan atau dilaporkan di kalangan manusia samada di negeri Kelantan mahupun di Malaysia umumnya.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan Negeri Kelantan bersama agensi-agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Polis DiRaja Malaysia, RELA, APM, JPS, JKR dan Pejabat Daerah sedang berusaha keras bagi memastikan kawalan dan pencegahan dapat dijalankan dengan seoptima mungkin bagi mencegah penularan jangkitan dari unggas kepada manusia.
Namun begitu, terdapat maklumat tidak tepat berkaitan isu selesema burung di kalangan unggas ini yang disiarkan di media sosial yang boleh mengakibatkan salah faham dan kekeliruan kepada masyarakat di dalam dan di luar negara. Ada pihak yang memberikan info-info tidak sahih sehingga boleh menimbulkan situasi panik kepada penduduk Kelantan secara khusus dan rakyat Malaysia umumnya.
Berikut adalah soalan-soalan yang sering ditanya oleh orang awam berkaitan penyakit Influenza A (H5N1) dan kejadian penyakit Avian Influenza (H5N1) yang sedang berlaku di kalangan unggas di negeri Kelantan.