LATAR BELAKANG

Hospital Lama Kuala Krai

Hospital Kuala Krai dibina dan beroperasi pada tahun 1917 iaitu sewaktu pemerintahan British. Bangunan yang pertama dibina pada tahun1917 adalah merupakan satu blok batu bata dan kayu. Blok ini dibahagikan kepada beberapa bahagian untuk dijadikan pejabat, wad lelaki, wad perempuan, wad TB dan wad bersalin.

Hospital Kuala Krai pada masa itu diketuai oleh seorang Pembantu Perubatan yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan rawatan pesakit. Beliau dibantu oleh beberapa orang pembantu. Perkembangan penjawatan seterusnya menyaksikan pertambahan bilangan staf pada tahun 1930, antaranya ialah Pembantu Hospital (Hospital Assistant), Pembantu Perubatan Kelas Tiga (Dresser Grade III), beberapa orang Jururawat, Pembancuh Ubat, Ketua Tukang Masak, Tukang Kebun dan Pegawai Keselamatan.

Pada tahun 9136, seorang Ketua Pembantu Hospital, 2 orang Pembantu Perubatan, 7 orang Jururawat, 2 orang Tukang Masak dan seorang Pemandu telah melaporkan diri. Disamping itu, terdapat seorang kerani yang bertugas bahagian pendaftaran kematian . Walaupun begitu masih belum ada pegawai perubatan yang berkhidmat di Hospital Kuala Krai. Doktor pertama yang telah melapor diri di HKK pada 1951 dikenaili sebagai Doktor Madam. Semenjak itu bilangan pegawai perubatan semakin bertambah. Kebanyakan pegawai perubatan ini hanya bertugas sementara sahaja di HKK. Selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, jawatan Penyelia Hospital telah diganti dengan pegawai perubatan yang pertama iaitu Dr. Ahmad Nordin.

Dari aspek pembangunan pula, pada tahun 1959 penambahan bangunan telah dibuat seperti dewan bedah, wad bayaran, wad bersalin dan bilik bersalin. Pada tahun 1975 satu lagi bangunan 2 tingkat dibina untuk menempatkan unit pesakit luar, bilik pegawai perbatan, unit makmal dan unit x-ray. Semenjak itu perkembangan perjawatan dan pembangunan telah berlaku seiring dengan perkembangan perawatan pesakit.

Bermula tahun 1999, HKK telah menjadi hospital pakar yang memberi perkhidmatan kepakaran kepada masyarakat Kelantan Selatan seterusnya mengikhtirafkannya sebagai sebuah hospital pakar yang kedua di negeri Kelantan. HKK menerima kes rujukan dari daerah Gua Musang, Machang, dan kadangkala dari daerah Tanah Merah.  Pada hari ini, HKK berdiri megah dengan khidmat kepakarannya sendiri. Selain itu, lawatan pakar secara berkala juga disediakan daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II. Hospital Kuala Krai kini boleh menempatkan sehingga 150 orang pesakit pada satu-satu masa dengan kemudahan Unit Rawatan Khas (High Dependency). Bilangan katil juga telah bertambah dari 150 kepada 172 katil pada 01 Januari 2014 kerana penambahan Wad Ortopedik dan ICU. Manakala Dewan Bedah baru telah dibuka pada tahun 2008 terdiri daripada CSSD dan 2 buah bilik bedah untuk menampung kes-kes kecemasan dan kes-kes rujukan.

Hospital Baru Kuala Krai  (Hospital Sultan Ismail Petra)

Pada tahun 2018, Hospital Kuala Krai telah berpindah ke KM7 Lebuhraya Kuala Krai- Gua Musang 18000 Kuala Krai, Kelantan. Lokasi bangunan baru ini adalah 5km dari Hospital Kuala Krai lama dan bandar Kuala Krai. Bilangan katil telah meningkat kepada 268 buah katil dan dijangka bertambah kepada 350 katil pada masa akan datang. Selain itu, kemudahan dan fasiliti di hospital baru ini dinaik taraf dengan kemudahan dan peralatan perubatan yang serba canggih selaras dengan teknologi terkini. Pembinaan hospital ini adalah berkonsepkan ‘hospital dalam taman’. Penubuhan hospital yang baru ini adalah untuk mewujudkan lagi suasana yang lebih kondusif kepada para pesakit dan kakitangan. Di samping itu,hospital baru ini dapat menyediakan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di hospital ini.

Pada tarikh 24 Mac 2019, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V mengampuni dan perkenan pertukaran nama Hospital Kuala Krai kepada Hospital Sultan Ismail Petra. Kemudian, pada tanggal 20 November 2019 acara perasmian Hospital Sutan Ismail Petra diadakan secara besar- besaran di ruang legar Hospital ini oleh Sultan Muhammad V.

Skip to content