TUMPAT – Hospital Tumpat melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh pengiktirafan pensijilan akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (Malaysian Society for Quality in Health – MSQH).
Kejayaan ini membuktikan komitmen jitu seluruh warga kerja hospital dalam mematuhi standard keselamatan dan kualiti perkhidmatan penjagaan kesihatan yang diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pematuhan standard ini merangkumi pelbagai skop utama termasuk tadbir urus, perkhidmatan klinikal, kejururawatan, kawalan infeksi, serta perkhidmatan sokongan dan fasiliti hospital.
Pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada Hospital Tumpat untuk terus memberikan perkhidmatan rawatan yang cekap, selamat, dan berpusatkan pesakit (patient-centred care) demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh warga Hospital Tumpat atas usaha gigih dan dedikasi berterusan ini.