PROGRAM JALINAN MESRA SEMPENA HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA TAHUN 2026 PERINGKAT JABATAN KESIHATAN NEGERI KELANTAN

Telah berlangsung dengan jayanya Program Jalinan Mesra Sempena Hari Penderma Darah Sedunia Tahun 2026 Peringkat Negeri Kelantan anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bersama Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II). Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan kepada para penderma darah serta agensi yang sentiasa komited menyumbang bakti demi menyelamatkan nyawa masyarakat.

Pada majlis tersebut, Hospital Tumpat turut melakar kejayaan membanggakan apabila dianugerahkan Sijil Penghargaan bagi Kategori Penganjur Kempen Derma Darah (Penganjur Aktif) yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, YBrs. Dr. Kasuadi bin Hussin. Pengiktirafan ini membuktikan keaktifan dan komitmen berterusan pihak hospital serta Unit Tabung Darah dalam menggerakkan program kutipan darah secara konsisten.

Melengkapkan detik bermakna ini, pihak pengurusan dan seluruh warga hospital turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Dr. Husni atas penganugerahan Anugerah Penderma Darah Terbanyak (Kategori Kakitangan).

Komitmen dan keprihatinan yang ditunjukkan bukan sahaja menjadi inspirasi kepada seluruh warga kerja hospital, malah menjadi contoh teladan yang amat baik kepada masyarakat umum. Semoga penganugerahan berganda ini terus menyuntik semangat kepada semua pihak untuk membudayakan amalan menderma darah secara berterusan demi kemanusiaan.