Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan merupakan entiti di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di peringkat negeri yang berperanan sebagai Ibu Pejabat Pentadbiran Perkhidmatan Kesihatan untuk seluruh negeri Kelantan. Bertempat di Wisma Persekutuan Kota Bharu, Jabatan ini berfungsi sebagai nadi pengurusan kesihatan negeri.
Sejarah penubuhan JKN Kelantan berkait rapat dengan penubuhan Rumah Sakit Umum Kota Bharu pada tahun 1930. Pada ketika itu, wujud keperluan untuk mewujudkan satu sistem pengurusan yang lebih bersepadu bagi mengawal selia pengurusan rumah sakit tersebut. Oleh itu, Pejabat Pengarah Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan Negeri Kelantan telah ditubuhkan dan kemudiannya ditukar nama kepada JKN Kelantan.
Sejak penubuhannya, JKN Kelantan telah berkembang sehingga hari ini dan menguruskan perkhidmatan kesihatan di 10 daerah di Kelantan, iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Jeli, Kuala Krai, Gua Musang, Bachok, Machang dan Tumpat. Pelaksanaan perkhidmatan ini dilakukan melalui rangkaian 10 buah Pejabat Kesihatan Daerah, 10 buah Hospital, 10 buah Pejabat Pergigian Daerah, sebuah Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan serta sebuah Makmal Kesihatan Awam.
Dengan infrastruktur dan kemudahan yang luas ini, JKN Kelantan memainkan peranan penting dalam memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan mudah diakses oleh seluruh rakyat Kelantan. Jabatan ini terus berusaha meningkatkan taraf kesihatan penduduk melalui pelbagai program dan inisiatif kesihatan awam, pendidikan kesihatan serta penyelidikan dan pembangunan dalam bidang perubatan bagi menjadikan Kelantan sebagai negeri yang sihat dan sejahtera.