PERUTUSAN PENGARAH

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI

Selamat datang ke portal rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya dan keberkatan-Nya maka, portal rasmi JKNK ini telah berjaya dibangunkan dan digunakan sejak tahun 2006. Portal ini merupakan salah satu platform JKNK dalam meningkatkan kualiti perkhidmatannya kepada orang ramai selaras dengan piagam KKM untuk sentiasa komited dalam menyediakan perkhidmatan dan layanan yang berkualiti, cekap, mesra dan profesional. Ia juga merupakan suatu gerbang bagi komunikasi dua hala antara orang ramai dan JKNK bagi sebarang aduan, maklum balas dan cadangan yang berkaitan kesihatan di negeri Kelantan khususnya.

Portal rasmi ini mengandungi pelbagai maklumat, aplikasi serta pautan berkaitan perkhidmatan kesihatan yang boleh dicapai, dirujuk dan digunapakai oleh semua. JKNK komited memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat, cekap dan mudah diakses oleh seluruh rakyat negeri ini.

Fokus utama JKNK ialah mempertingkat kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan memperkukuh kesihatan awam, meningkatkan kualiti dan keselamatan perkhidmatan perubatan, serta menangani isu keselamatan dan kualiti makanan dan kebersihan persekitaran termasuk memelihara kesejahteraan semua termasuk warga JKNK. Kerjasama erat bersama agensi kerajaan, komuniti dan rakan strategik turut menjadi keutamaan dalam memperkasa sistem kesihatan negeri.

Saya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kesihatan atas dedikasi dan profesionalisme yang berterusan. Dengan iltizam dan semangat bersama, kita akan terus memacu kesihatan rakyat Kelantan ke tahap yang lebih baik.

“Rakyat Sihat, Kelantan Sejahtera”


DATO’ DR. MOHD AZMAN BIN YACOB

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan